Tertangguh empat tahun, Premis UDA Niaga Kuala Klawang siap Oktober ini

JELEBU: Selepas empat tahun tertangguh, projek pembinaan bangunan UDA Niaga di Kuala Klawang, di sini yang dimulakan sejak Mac lalu dijangka siap Oktober ini.
Projek pembinaan empat lot kedai dua tingkat dibangunkan di tanah seluas 0.069 hektar milik Koperasi Kakitangan Kerajaan Daerah Jelebu.
Ahli Parlimen Jelebu yang juga EXCO Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata biarpun berdepan pelbagai masalah sehingga ia tertangguh, akhirnya pembinaan projek bernilai RM1.79 juta berjaya direalisasikan.
Ahli Parlimen Jelebu yang juga EXCO Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias. - Foto fail NSTP
"Sudah tentu sebagai bekas Pengerusi UDA Holdings saya gembira dengan perkembangan ini dan berharap UDA Niaga ini akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan ahli koperasi," katanya ditemui pada Program Jom Isi Minyak Motor Percuma di sebuah stesen minyak di Kuala Klawang, semalam.
Untuk rekod, majlis pecah tanah projek pembinaan itu disempurnakan ketika itu oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 22 Februari 2021.
Jalaluddin berkata sebaik siap dibina, bangunan itu akan diserahkan kepada pihak koperasi bagi tujuan pengisian peniaga.
Katanya UDA Niaga dijangka mampu mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif di Jelebu selain boleh menjadi pusat sehenti untuk agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2025/05/1397616/tertangguh-em…